Ahad, 13 September 2009

^_^ Redha vs Celaka ~_~


23 Ramadhan 1430H/13 September 09 @ 0632H
Kuliah Subuh oleh Ustaz Dahlan bin Ismail


Alhamdulillah. Syukur. Allah kurniakan nikmat pagi ini, menandakan Allah masih sayangkan kita. Tidak putus-putus Dia melimpahkan rahmat-Nya kepada kita. Moga istiqamah, setia dan komitednya kita dengan variasi amal ibadah yang ikhlas melayakkan kita bersama dengan golongan yang diredhai oleh Allah s.w.t.

Tazkirah 1/2 jam ini tidak lain berdasarkan ilmu-ilmu yang telah kita terima sebelum ini. Hadis Nabi s.a.w yang sering diulang-ulang:
"Sesiapa yang mendirikan (solat & ibadah) di malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan & mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu" [Riwayat Al-Bukhari, Sahih]
Pada hari-hari terakhir Ramadhan khususnya 10 malam terakhir, Nabi s.a.w melebih-lebihkan amal ibadat berbanding 20 hari yang awal. Nabi s.a.w yang sememangnya maksum pun menggandakan amalan Baginda s.a.w, inikan pula kita yang banyak bergelumang dosa, EKSTRA EKSTRA PATUT!!

Ingatlah... kesetiaan kita untuk menyempurnakan tuntutan hadis ini bukan sekadar kita sudah beres solat Subuh berjemaah, atau wirid..atau zikir sampai naiknya matahari tepat 7.04 pagi nanti. ITU BELUM MENCUKUPI!!

6 Hak Sesama Muslim:
  1. Apabila kamu menjumpainya, hendaklah kamu memberi SALAM kepadanya.
  2. Apabila dia menjemput kamu, hendaklah kamu memenuhi JEMPUTANnya.
  3. Apabila dia meminta diberikan nasihat, hendaklah kamu meNASIHATinya.
  4. Apabila dia bersin lalu mengucapkan Alhamdulillah, hendaklah kamu berDOA kepadanya (Dengan ucapan Yarhamkallah/illah)
  5. Apabila dia sakit, hendaklah kamu LAWATInya.
  6. Apabila dia mati, hendaklah kamu IRINGI JENAZAHnya.
[Hadis Riwayat Muslim]
Apabila diminta menasihati, cubalah semampu diri dengan bersandarkan bantuan Allah. Bimbang..jika tidak ditunaikan, kelak di akhirat, perhitungan ke atas diri kita terganggu dek kerana tuntutan hak yang satu ini.

Redha dan celaka. Dua kata berbeza ini kedua-duanya milik Allah. Keredhaan = sesuatu yang sangat baik yang sangat-sangat kita inginkan. Kecelakaan = Sesuatu yang sangat-sangat kita benci. Hamba Allah yang disayang pastinya akan mendapat redha-Nya sebaliknya bagi makhluk yang dibenci, celakalah jawabnya.

"CELAKAlah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran)" [77. Al-Mursalat:15,19,24,28,34,37,40,45,47,49]
Celakalah bagi mereka yang berdusta, gemar menipu, suka berbohong. Amaran Allah ini diulang-ulang hingga 10 KALI , 1/5 daripada keseluruhan 50 ayat surah Al-Mursalat mengandungi amaran Allah ini.

Antara doa yang sangat ma'thur (baik) dan menjadi amalan Rasulullah s.a.w juga banyak dibaca ketika Ramadhan. Sedar atau tidak, doa inilah yang dibacakan imam seusai rakaat ke-4, 8, 12 dan 16 solat sunat tarawih:
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu akan keREDHAan-Mu dan Syurga; Dan aku memohon perlindungan-Mu daripada kemurkaan-Mu dan Neraka"
Doa ini juga boleh diamalkan setiap kali selepas rukun ke-12 solat (memberi salam). Tidak kiralah solat sunat atau wajib.

Penghujung redha itu syurga dan hujung celaka, neraka! Sama ada kita sudah bersedia atau tidak, Qiamat itu pasti tiba. Akan ditimbang segala amal selama hidup di dunia. Jika berat pahalanya, alhamdulillah...syurgalah tempat kita sebaliknya jika dosanya lebih berat, tentunya nerakalah tempat dihumban! Na'uzubillah...

Kita cuma ada 2 pilihan. Syurga atau neraka. Tiada "negara" berkecuali sebagaimana di dunia. Terus nilai kembali diri kita. Apakah kita pasti diri kita layak menjadi warga syurga atau neraka? Di sanalah tempat kita yang KEKAL ABADI. Jika ini hakikatnya, sudah tentunya pilihan kita adalah syurga yang infiniti nikmatnya. Soalnya, bagaimana? Tiada lain..hanya dengan REDHA ALLAH.

REDHA

Antara wirid yang terkandung dalam bacaan al-Ma'thurat susunan al-Shahid Imam Hasan al-Banna:

"Kami REDHA Allah sebagai Tuhan kami, Islam sebagai Agama kami dan Muhammad saw sebagai Nabi kami"
Setakat doa munajat, wirid atau zikir pada lisan belum menjamin kita untuk beroleh redha Allah sehingga kita punya usaha untuk fahami APA ITU REDHA dan kenal jalan-jalan yang boleh mendatangkan REDHA ALLAH. Perlu juga difahami jalan-jalan yang buatkan diri disumpah celaka oleh Allah s.w.t.

Al-Qur'an dan hadis telah menghuraikan segala-galanya. Dua titipan berharga dari Allah dan kekasih-Nya, Muhammad s.a.w adalah bukti cinta kasih kepada seluruh umat manusia.

Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman ada menghuraikan syarat-syarat utama untuk menggapai REDHA ALLAH.

Jika benar2 dan sungguh2 kita mahukannya, jagalah 3 KEREDHAAN...
  1. Redha, terima, senang hati..Allah sebagai TUHAN kita.
  2. Redha, terima, senang hati..Islam sebagai AGAMA kita,
  3. Redha, terima, senang hati..Muhammad s.a.w sebagai NABI kita.
Jika ditanya, semua akan mengaku tanpa segan silu..Allah Tuhanku, Islam agamaku, Muhammad s.a.w nabiku tetapi sekukuh mana kebenaran pengakuan kita?

1. Allah Tuhanku!

Ada ketika..di luar sedar atau tidak..banyak ketika, kita bertuhankan NAFSU!
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuan-Nya dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup atas penglihatannya? Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkan sesat)? Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?" [45. Al-Jathiyah:23].
Allah perintahkan agar menegakkan solat sedang nafsu menyuruh meruntuhkannya.
Allah menyuruh agar berpuasa di bulan Ramadhan sedang nafsu meminta agar mengabaikannya.
Allah mewajibkan memelihara aurat, WAJIB BERTUDUNG bagi wanita sedang nafsu memujuk-mujuk agar ditayangkan pada khalayak.
Allah melarang minum arak sedang nafsu terus menghalalkannya..almaklumla..bukan banyak pun minum..lagipun..bukan ada hukuman hudud pun kat negara ni..apa nak ditakutkan.~_~

Demikianlah bertentangannya kehendak nafsu dan tuntutan Allah swt. Adakala Allah disembah dan adakala nafsu yang diikut. Seringkali "Nafsu didahulukan, Mungkar diutamakan" dan "Allah dibelakangkan, Makruf dikesampingkan". Jika beginilah kondisinya..di mana kesempurnaan iman kita?


Hendaklah kita berTuhankan Allah Yang Esa pada tiap detik waktu, tiap saat, "every moment", di mana jua dan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2. Islam Agamaku!

Fahami agama ini, dalami tiap tuntutannya bukan pilih "ikut suka aku". Jangan sesekali mendatangkan agama yang selainnya selama hidup kita. Rajinkanlah diri untuk meluruskan tiap amal ibadah kita menurut yang digariskan Islam.

3. Muhammad saw Nabiku!

Telusuri dan jadilah "follower" Rasulullah s.a.w yang setia. Ingatlah WARNING Nabi s.a.w:
"..maka siapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku" (Riwayat Ibnu Majah)
"Barangsiapa yang enggan melaksanakan sunnahku, maka ia bukan dari golonganku." [Hadis Sahih, Riwayat Ibnu Majah (no. 1846) dari 'Aisyah r.a. Silsialh al-Ahaadits ash-Shahiihah (no. 2383)]
Kita katakan "Nabi idola kita", "Muhammad uswatun hasanah" dan kita sering mengekspresikan rasa bangga kita pada "banner"2 yang direntang dan dalam alunan zanji dan selawat ke atas Baginda. Namun, apakah tindak tanduk kita secocok dengan apa yang disunnahkan oleh Baginda? Walau segergasi manapun "banner"2 dan seindah manapun alunan zanji dan selawat ke atas baginda sedangkan attitude kita jauh berbeza dengan apa yang dibawa Nabi..tiada maknanya. Nabi tetap tidak mengaku umat!

Lengkapkanlah diri kita dengan 3 ciri-ciri keredhaan ini, insyaAllah..mudah-mudahan ia melayakkan diri kita untuk mendapat REDHA-Nya. Amin..

CELAKA

Kita minta dilindungi dari segala macam kecelakaan. Bagaimana keadaannya bila ada unsur "kemurkaan" antara suami-isteri, anak-ibubapa, kakitangan-majikan? Pasti hidup tak senang. Inikan pula hubungan si hamba dan Khaliqnya.


Antara tanda Allah murka bila Dia menurunkan bala ke atas kita. Selsema babi asbab tersebarnya virus influenza A H1N1 adalah antara masalah semasa umat ini yang merupakan ingatan Allah buat hambaNya. Kedegilan kita menerima nasihat Allah buatkan Allah murka. H1N1 tidak datang sendiri. Semuanya kerana taqdir-Nya. Itu yang harus diyakini selari dengan rukun iman ke-6, beriman dengan qada' & qadar. Hanya yang memenuhi tuntutan 6 Rukun Iman akan mempercayai hakikat ini. Kadangkala, Allah bukan sahaja menunjukkan kemurkaannya hanya di neraka tetapi juga ketika di dunia lagi.

Dikisahkan..berdasarkan kitab Minhajul 'Abidin (m/s 265)...

Syeikh Al-Fudail bin 'Iyadh rahimahullah yang merupakan ulama' tasawuf yang tersohor punya anak-anak murid yang ramai. Suatu masa, salah seorang muridnya tidak hadir ke kelas pengajiannya kerana sakit yang berat. Syeikh Al-Fudail lalu menziarahi anak muridnya itu. Beliau duduk lalu membacakan surah Yaasin sebagaimana yang dianjurkan Islam. [Berbeza dengan sebahagian kita yang langsung tak memenuhi adab2 menziarah orang yang sakit. Lebih mem"bazir"kan nikmat mulut ini untuk sembang yang tak patut sambil menghabiskan teh dan biskut je!].

Muridnya itu menjawab: "Wahai guruku, JANGAN TUAN MEMBACA INI."

Terkejut sang murabbi mendengarkan jawapan muridnya itu. Maka diamlah Al-Fudail dan diajarkan pula..Laa ilaahaillallah..

Jawab anak muridnya lagi: "Aku tidak akan mengucapkannya kerana aku sudah melepaskan diri dari kalimah "Laa ilaahaillallah.." itu."

Terkesima Al-Fudail. Matilah anak murid yang disayanginya itu dengan "su-ul khotimah".

Begitulah akhirnya hidup seorang insan yang sangat rapat dengan ulama mulia. Walau hidupnya lebih banyak dihabiskan dengan insan yang soleh namun tetap, akhirnya tak seindah hidupnya. Oleh itu sahabat-sahabat, jangan kita cepat megah dengan apa yang dikurniakan kepada kita ketika ini. Sentiasalah berusaha untuk pelihara aqidah ini. Ikatan ini wajib dikukuhkan. Jangan mudah berpuas hati dengan nikmat Islam dan Iman yang kita ada sekarang. Setinggi manapun iman yang kita rasakan, sentiasa persoalkan lagi, sejauh mana keislaman dan keimanan kita. Jujurlah..jangan berdusta kerana sesungguhnya Allah Maha Teliti Pengetahuan-Nya. Dia tahu apa yang tersembunyi dalam hati kita. Malulah kita jika sandaran hati kita bukan pada-Nya.

[sambungan kisah seterusnya...]

Pulanglah Imam Al-Fudail ke rumahnya dia menguzlahkan dirinya di rumahnya. Air mata kesedihan terus mengalir selama 40 hari uzlahnya. Pada malam ke-40, Al-Fudail bermimpi melihat muridnya itu sedang ditarik untuk dihumban ke Neraka jahanam.

Maka bertanya Imam Al-Fudail: "Ya tilmiz..apa sebabnya imanmu itu dihilangkan oleh Allah daripadamu sedangkan engkau dahulu sewaktu di dunia adalah muridku yang PALING ALIM?"

Maka jawabnya: "Aku KEHILANGAN IMAN itu KERANA 3 SEBAB..":

1. Aku suka MENGADU DOMBA/ MEMFITNAH, aku suka mengatakan kepada teman-temanku bertentangan dengan apa yang aku katakan pada tuan.
"Tidak akan masuk syurga al-qattat (tukang adu domba/ penghasut)" [Hadis Riwayat Al-Bukhari].
2. Aku berIRI HATI terhadap teman-temanku. Ada dalam hatiku rasa benci dan tidak senang dengan sahabat-sahabatku yang seaqidah denganku.

3. Aku sakit teruk lalu berjumpa doktor untuk bertanyakan tentang penyakitku. Doktor me"nasihat"kan aku MINUM ARAK. Doktor meng"preskripsi"kan segelas arak TIAP TAHUN sebagai ubatnya. Jika tidak, katanya, maka penyakitku itu tidak akan sembuh. Oleh sebab itu lalu aku minum arak.

Arak itu haram walau setitik. Bayangkan! itu baru segelas setahun! akibatnya..mati pun tanpa kalimah syahadah. Harusnya timbul kegentaran dalam hati kita bila memikirkan masalah umat "jahiliyah moden" ini. Gejala dadah dan dedah..arak diminum "anywhere".."anytime", menularnya AIDS/HIV hingga mak ayah pun di"haram"kan menyentuh jenazah anak yang menghidapnya. Ya Allah..tanya pada diri..bagaimana akhirku nanti??
"Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang khamar (segala minuman yang memabukkan) dan judi. Katakanlah, "Pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi DOSANYA LEBIH BESAR daripada manfaatnya."..........Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu memikirkan," [2. Al-Baqarah:219]
"Kita berlindung kepada Allah dari murka-Nya yang tidak akan mampu kita menghadapinya." [Imam Ghazali]

Ya Allah..Ya Allah..terimalah taubat kami..
Kami menangis..merintih..hanya mengharap keredhaan-Mu.
Moga tangisan taubat kita di dunia ini menjanjikan senyuman yang tidak putus ketika mahu melangkah memasuki syurga-Nya kelak..amin..

__ END __ 0706H

.:OPEN Our HEART, REFRESH Our NIYYAH:.

Tiada ulasan: