Sabtu, 19 September 2009

Syawal: Anugerah Terindah Dari-Nya ^_^

Bismillahirrahmanirrahim...

Ramadhan 1430H kian hampir ke akhirnya. Sedihnya Baginda s.a.w. dan para sahabat terlahir dengan tangisan. Tidak tega membiarkan Ramadhan yang penuh barakah berlalu pergi.

Allah s.w.t. Maha Pengasih dan Penyayang. Tidak dibiarkan saja kekasih-Nya juga pencinta-pencinta kekasih-Nya terus-terusan meratapi kesedihan berpisah dengan Ramadhan. Disebabkan itu, dihadiahkan 1 Syawal khas buat hamba-hambaNya yang bersyukur.
"Aku datang kepada kalian, dan kalian memiliki 2 hari raya untuk bersenang gembira sebagaimana di waktu jahiliyyah. Dan sesungguhnya Allah telah mengganti keduanya DENGAN YANG LEBIH BAIK; (iaitu) Eidul Adha & Eidul Fitri." [Hadis Sahih, Riwayat Ahmad, Abu Dawud & Nasa'i]
Syukur itu buktinya...

Hati sentiasa terikat dengan Allah.
Lidah tidak lepas dengan lafaz "Alhamdulillah", zikir, istighfar, ayat-ayat al-Qur'an dan seruan ke arah kebaikan.
Segala nikmat pancaindera dikawal dengan iman yang tebal didada bukan dikawal oleh nafsu dan syaitan.

Anugerah 1 Syawal ini bukan anugerah biasa. Anugerah Allah ini wajib dihargai sesungguh hati. Insan2 yang bersyukur dengan nikmat hari raya ini tidak akan mempersiakannya dengan segala noda maksiat sebaliknya mereka sedaya mungkin akan memastikan diri kembali kepada fitrah yang suci bersih. Gembira mereka bukan dengan hiburan yang melalaikan sebaliknya dengan hiburan zikrullah.

Teorinya..."Kita gembira menyambut Syawal". Praktikalnya..."Bagaimana kita gembira menyambut Syawal?"

Jom sama-sama bergembira di hari lebaran ini dengan berusaha segigih mungkin untuk mengamalkan sunnah-sunnah baginda Rasulullah s.a.w.:

1. Takbir, Tahmid, Tasbih dan Tahlil.

"...Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa sebulan Ramadhan) dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur." [2. Al-Baqarah:185].

Sebaik sahaja terlihatnya hilal (anak bulan) 1 Syawal, basahilah lisan dan larutkan hati kita dengan Allahuakbar ..Alhamdulillah ..Subhanallah ..Laa ilaahaillallah... 4 kalimat yang mengagungkan kebesaran Allah, memuji-Nya, mensucikan-Nya dan mentauhidkan-Nya. Sungguh! Tiada Tuhan Yang Disembah selain Allah s.w.t.

"Hiasilah hari raya kamu dengan TAKBIR" [Hadis Nabi s.a.w]

2. Mandi sunat Eidul Fitri.

Bersihkan fizikal diri sebaik terjaga dari tidur di pagi hari raya.

3. Penampilan terbaik.

Baik lelaki atau perempuan, hiasilah diri sekemas-kemasnya. Tampilkan diri dengan imej muslimin dan muslimah sejati baik dari segi pemakaian dan pekerti. Bergembiralah dengan pakaian terbaik sebagai manifestasi kegembiraan kerana lulus cemerlang dalam melaksanakan tuntutan Ramadhan.

4. Jamah makanan sebelum Solat Sunat Eidul Fitri

"Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Eidul Fitri sebelum memakan beberapa biji kurma"[Dari Anas b. Malik]

Jika tiada kurma..tidak perlu gusar. Makanlah apa yang tersedia asal saja makanan itu halal dan baik.

5. Menuju ke tempat didirikan Solat Hari Raya.

Lebih afdhal dengan berjalan kaki menuju ke tempat solat. Laluilah jalan yang berbeza apabila pulang.

Berkata Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.a. :
"Baginda s.a.w. selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang2 yg melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untuk memberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula, untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid/ tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya."[Zaadul ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah. ms 49]
6. Solat Sunat Eidul Fitri berjemaah.

"Pada hari raya Eidul Fitri dan Eidul Adha, Rasulullah s.a.w. akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yg dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing & menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat & perintah kepada mereka (khutbah)."[Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih, no. 956]

7. Lafaz ucapan terbaik.

"Taqabbalullah minna waminka" (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu) [Berdasarkan Hadis Hasan]. Ucapan inilah yang diamalkan para salafussoleh dalam menurut sunnah Rasulullah s.a.w.

8. Gembiralah..meriahkan 1 Syawal.

Hari raya sememangnya dinobatkan sebagai hari untuk umat Islam bergembira. Gembiralah semahu-mahunya asal tidak melampaui batas. Jangan dek kerana gembira yang melampau, mengakibatkan kita alpa dari menunaikan ibadah yang wajib.

Berziarahlah...dengan niat mengeratkan ukhuwah fillah.
Sebarkan salam...sebagai tanda mendoakan kesejahteraan sesama muslim.
Bersalamlah..berpeluklah.. dengan insan yang dihalalkan..sebagai tanda kemaafan atas segala khilaf diri dan kerinduan setelah lama tidak bersua.

*** Seusai 1 Syawal, gerak gempurkan hati dan jasad kita untuk berpuasa 6 hari Syawal demi menyahut sarana Rasulullah s.a.w.

Moga-moga kehadiran 1 Syawal ini melahirkan muslim yang muttaqin. Gilaplah kebahagiaan Syawal ini dengan memastikan diri mendapat redha Allah SWT. Hargailah setiap pertemuan di Aidilfitri ini setulusnya agar ukhuwah ini sentiasa segar walau berjauhan.

Salam Lebaran buat semua.. ^_^ ..Maaf atas segala khilaf..;)

.:OPEN Our HEART, REFRESH Our NIYYAH:.

Tiada ulasan: