Khamis, 24 September 2009

Istimewanya Kerja Bila...

Bismillahirrahmanirrahim...

Berapa ramai yang gajinya beribu-ribu..tapi masih berasa tidak cukup. Berapa ramai yang sibuk menimbunkan harta...hingga terabai tanggungjawab selainnya. Berapa ramai yang kerjayanya gah di mata masyarakat...tapi kerjanya tangkap muat saja. Berapa ramai yang dipuji kerana kehebatan kerjanya...tapi tanpa sedar..diLAKNAT ALLAH SWT.

" Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk MENYEMBAH dan BERIBADAH kepadaKu, Aku tidak sekali-sekali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah, Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya ." [Ad-Dzaariyat: 56-58].

Hidup bukan kerana kerja. Hampalah hidup jika diri menjadi hamba kerja hingga terlupa untuk menjadi hamba Allah. Kerjaya secara automatiknya menjadi IBADAH jika niatnya ikhlas kerana Allah s.w.t. Sentiasa muhasabah dan koreksi apa yang kurang dalam kerja kita. Jangan jadikan pekerjaan sebagai rutin yang terpaksa dilaksanakan sebaliknya jadikan ia sebagai sesuatu amal yg diambil kira oleh Allah swt. Semoga kerja mendekatkan kita dengan Yang Maha Memberi Pekerjaan.

Menurut apa yang digariskan oleh Imam al-Ghazali (Ihya Ulumuddin), pekerjaan yang dilakukan boleh jadi ibadah jika:

1. Pekerjaan yang harus, bukan yang ditegah Islam.

"Katakanlah, sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi dan perbuatan dosa …"[al-A'raaf: 33].

2. Niat beserta matlamat yang baik.

"Hanya segala 'amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu".

[Diriwayatkan oleh Abu 'Abdullah Muhammad Ibn Isma'il Ibn Ibrahim Ibn Al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari & abu al-Hussain Muslim Ibn al-Hajjaj Ibn Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi]

Seawal pagi..apabila celiknya mata, sematkan niat yang baik, bersih dan tulus di hati..melangkah ke tempat kerja bermatlamatkan redha Allah s.w.t. InsyaAllah, segala kerja dipermudahkanNya. Walau di mata kasar kelihatannya amat berat sekali, tetapi jika pergantungannya hanya kepada Allah swt..yakinlah, Dia Maha Mengasihani tiap hamba-Nya yang ingat pada-Nya. Dialah yang Maha Penunjuk jalan yang haq.

Lari sejauhnya dari riya' dengan LEBIH bagusnya kerja kita, riya' dengan LEBIH mulianya kerja kita, riya' dengan LEBIH mahalnya gaji yang dibayar dan segala "riya'2" yang mengintai keikhlasan kita. Ingat! Kita tidak bisa hidup di dunia ini hanya dengan kepakaran yang ada pada diri. Jangan anggap kerja kita paling mulia kerana manusia tidak dinilai kemuliaannya dengan kerjayanya sebaliknya hanya dengan TAQWAnya.

Doktor? Engineer? Peguam? Jururawat? Arkitek? Pensyarah? Walau apapun status profesional yang mahu disenaraikan, ketika mahu dikuburkan kelak, pasti kita akan akui profesionalnya si penggali kubur.

Patuh, taat & rendah hati dengan BOS teragung. Setiap pancaindera juga perasaan dan hati yang digunakan untuk memenuhi tuntutan kerjaya wajarnya dimatlamatkan untuk menegakkan syiar Islam. Kerjaya menghubungkan diri manusia dengan alam dan Pencipta alam semata-mata untuk beroleh kebahagiaan Syurga yang hakiki. Pastikan Allah suka dan redha dengan tiap tugas kita dari seremeh-remeh kerja hingga sepenting-penting kerja.

3. Kerja sesungguhnya setimpal dengan ganjaran.

Walau apapun pekerjaan halal yang kita lakukan, buatlah sesungguh hati. Hindarkan rasa malas bekerja. Semarakkan mahmudah dan buang jauh-jauh sikap sambil lewa, ponteng, curi masa, menipu, menyeleweng dan segala mazmumah diri. Masih belum terlewat!

“Sesungguhnya Allah lebih suka apabila salah seorang diantara kamu melakukan sesuatu pekerjaan lalu dilakukannya dengan BERSUNGGUH-SUNGGUH (sebaik mungkin).”[Sabda Nabi SAW].

4. Menjaga batas-batas yang ditetapkan Allah & dasar-dasar akhlak.

Serlahkan kehebatan Islam. Sebagai muslim, janganlah pula kita jadikan diri kita sebagai fitnah kepada agama sendiri. Tonjolkan akhlak muslim sejati. Jaga pergaulan sesama rakan sekerja. Bersederhana...jangan melampaui yang sepatutnya. Pelihara syari'at Islam. Utamakan apa yang digariskan dalam Islam. Terus-terusan tambahkan ilmu. Walau hakikatnya ilmu Allah swt itu melampaui segalanya, namun itu bukan penghalang buat diri untuk sentiasa berusaha menambahkan ilmu di dada. Graduasi bukan petanda berakhirnya zaman belajar. Tuntutlah ilmu semaksima mungkin hingga ke mati agar diri tidak diperbodohkan.

5. Tidak menghalang kewajipan kepada Allah dan sesama insan.

Kerja tidak berkat jika solat terabai. Fokus kepada kerja yang melampau hinggakan tiada masa untuk hidup bermasyarakat juga menjadikan sesebuah pekerjaan itu hilang status "ibadah". Rasulullah: Uswatun hasanah. Baginda saw juga bekerja tetapi tanggungjawab asas sedikitpun tidak diabaikannya. Baginda saw sukses dalam meningkatkan kedudukan ummah. Budaya kerja cemerlang baginda saw sememangnya tiada siapa dapat menafikannya.

*********************************************************

Hidup ini penuh dengan cabaran sama ada kecil atau besar. Walau sebesar manapun cabaran yang menimpa kita, kita sememangnya punya kemampuan kerana Allah sama sekali tidak akan membebankan kita dengan sesuatu yang di luar upaya hambaNya. Kehidupan di alam persekolahan..menara gading juga kerjaya masing-masing menuntut kesabaran dan kekuatan tersendiri. Lepas satu ujian...ujian yang lain pasti tiba..dan begitulah putaran hidup kita...

Teringat pesan ustaz ketika zaman sekolahku...
UPSR tentu...PMR belum tentu,
PMR tentu...SPM belum tentu,
SPM tentu...Universiti belum tentu,
Universiti tentu...Graduate belum tentu,
Graduate tentu...Kerjaya belum tentu,
Kerjaya tentu...Dunia belum tentu,
Dunia tentu...Akhirat belum tentu!
Kata-kata ini sering mengingatkanku agar jangan terlalu gembira dengan kejayaan semasa. Jangan terlalu yakin dengan apa yang ditentukan buat kita saat ini. Allah s.w.t Yang Maha Penentu berhak sepenuhnya atas apa yang ada pada kita. Kata-kata ini juga beri pengajaran bahawa segala ujian di dunia ini hanya proses menuju ke alam yang kekal abadi. Walau setinggi mana pun kejayaan kita di dunia..ingat, ia tiada guna jika gagal di akhirat. Seringkali kita berbangga dengan cemerlangnya diri kita..hebatnya profesyen kita tetapi ia hakikatnya cuma nikmat yang sementara. Pangkat, harta, keluarga...jangan sampai menjadi penghalang buat diri untuk menjejakkan kaki ke Syurga.

Bila difikir-fikir...alangkah bodohnya diri yang takjub dengan nikmat sementara yang PASTI DITINGGALKAN.

Ya Allah, jadikan kerjaya kami sebagai alat buat diri kami untuk makin dekat dengan-Mu.

p/s: Mohon doa semua agar diri ini istiqamah dan teguh dengan tiap cabaran di alam kerjaya..ya Allah..surutkan debaranku ini..beri aku ketenangan dan kukuhkan hatiku untuk bekerja hanya kerana-Mu..amin.^_^

.:OPEN Our HEART, REFRESH Our NIYYAH:.

Tiada ulasan: