Rabu, 17 Februari 2010

Yang Terbuang @ Dibuang?!! ~0~

Bismillahirrahmanirrahim....

Bila disebut saja "B.A.Y.I"...
..tentu saja yang tergambar di fikiran kita ialah wajah-wajah yang "cute", hati jadi tenteram bila melihat insan comel yang masih suci tanpa palitan dosa.

Namun bila melihatkan fenomena kini, hati yang mulanya tenteram menjadi bercelaru. Semuanya gara-gara isu pembuangan bayi yang tidak menampakkan sebarang kesudahan.

Manusia tanpa segan terus menjadi umat yang "produktif" dengan anak luar nikah. Tidak cukup dengan itu, dilanjutkan lagi dengan jenayah pembuangan bayi dan lebih menyedihkan lagi hingga ke tahap membunuh! Astaghfirullahal'azim...amat-amat tidak bertamadun umat kini!

***

"Milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Jika kamu nyatakan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu sembunyikan, nescaya Allah memperhitungkannya (tentang perbuatan itu) bagimu. Dia mengampuni siapa yang dia kehendaki dan mengazab siapa yang Dia kehendaki. Allah Mahakuasa atas segala sesuatu" [Ali-'Imran:11]

Allah... Dialah pemilik segala nyawa yang ada di muka bumi ini.
Allah... Dialah jua penentu segala takdir setiap makhluknya.
Allah... Dialah yang Maha Halus pengetahuan-Nya.

Kita sebagai hamba-Nya langsung tidak berupaya menyembunyikan apa-apa pun dari-Nya. Setiap lintasan hati itu dalam pengetahuan-Nya.

Kejam!
Tak berhati perut!
Sangat zalim!
Gila!

Inilah antara kata-kata yang akan terbit sama ada pada lisan atau dalam hati kita apabila berita-berita pembuangan bayi dikhabarkan. Rasa marah bukan main. Boleh dikatakan seluruh masyarakat dunia memandang jijik perbuatan ini hatta seorang perompak atau yang berkecimpung dalam dunia rasuah sekalipun. Semua berkongsi rasa yang sama...MARAH!

Dalam hiruk-pikuk para wartawan membongkar kisah pembuangan bayi, persoalkan.... DI MANA KITA DALAM ISU INI?

Boleh jadi kini kita sedang terbeliak mata membaca kisah2 tragis pembuangan bayi di dada-dada akhbar atau pada paparan skrin televisyen. Mungkin juga kita menjadikan isu ini sebagai koleksi isu-isu semasa yang kita tahu...tidaklah nanti orang kata...kita ini "katak dalam tempurung". Tidak kurang...besar kemungkinan kita adalah insan-insan yang pakar "menggelengkan" kepala bila mendengar berita pembuangan bayi.

Kita yang tahu di mana kita berada. Sama ada kita seorang pelajar, anak, suami, isteri, ibu, bapa atau apa sahaja status kita, kita punya peranan tersendiri dalam isu ini. Tidak ber"baloi-baloi" marah kita jika rasa benci kita hanya sekadar pada emosi. Sewajarnya, rasa marah itu timbul kerana semangat hidup beragama yang wujud dalam diri.

Marah atas dasar emosi semata-mata bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan jenayah pembuangan bayi yang kian parah ini. Marah dengan emosi sifatnya sebentar. Kemarahan sebegini mudah lenyap jika kelak...muncul ISU BARU menggantikan isu pembuangan bayi. Natijahnya, jadilah "isu pembuangan bayi" ini seperti isu2 lain yang tenggelam timbul sifatnya.

Marahlah...geramlah. Itu tiada salahnya asal saja kemarahan kita kerana rasa berTuhan. Sehebat mana isu ini dijaja dan diperkatakan, sehebat itu jugalah harusnya seluruh umat ini bersatu menanganinya. Lakukanlah segala apa yang terdaya dengan nikmat kudrat yang Allah anugerahkan kepada kita. Fikir dan bertindaklah dengan segenap usaha. Semuanya bermula dengan diri. Hijrahkan diri kembali kepada Allah, nescaya, bantuan Allah akan tiba.


Sememangnya begitu banyak huraian peranan yang boleh dibincangkan di sini. Walaubagaimanapun, hati ini lebih cenderung memfokuskan hanya kepada "insan" yang terlanjur membuang bayi.

Coretan buat SI PEMBUANG "ANAK COMEL"..

Bismillahirrahmanirrahim....
Dengan nama Allah...Tuhan Yang Maha Agung...
Dialah Allah...Yang Maha Menciptakan...
Menciptakan janin dalam rahimmu..

Dialah Yang Menciptakan manusia yang hina...
Kerana asal manusia dari setitis air mani...
Namun harus diingat...
Kita dicipta dalam hina...
Tapi bisa menjadi yang mulia...
Asalkan kita segera kembali pada-Nya.

Manusia itu hamba...
Manusia juga khalifah...

"Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia ini dalam SEBAIK-BAIK KEJADIAN" [at-Tin:4]

Carilah rasa kehambaan dalam diri...
Dan buktikan diri adalah sebaik-baik kejadian.
Carilah iman yang berselindung dalam diri..
Nescaya Allah akan membantumu menyangkal segala mazmumah diri..

Masyarakat kini marah kepadamu.
Namun itu bukan alasan untuk terus menyembunyikan dirimu.
Kerana Allah Maha Tahu di mana kamu.

Wahai yang bernama "insan"...
Duniamu hanya kamu yang tahu.
Kamu diuji dengan ujian yang semua insan tidak mahu.
Tidak akan diuji manusia itu melainkan hanya dengan izin Allah...


Ingatlah wahai hamba Allah...
Jangan anggap taubat itu mudah...
Taubatlah dengan sesungguh-sungguhnya...
Dengan takut dan harap...
Berjanji tidak mengulangi dosa lalu...
Cukuplah dengan terbiarnya anak kecil tak berdosa...
Jangan kau tambah lagi derita mereka...

Cukuplah!
Bertaubatlah...
Kembalilah...
Kesalilah...
Atas segala dosa...

Aku bukan insan sempurna...
Aku juga hamba sepertimu yang mencari YANG SEMPURNA..
Pada akhirnya...kita sama...
Hanya yang beza...
Apakah nafas kita diakhirnya taqwa...atau hina...

Moga Allah jauhkan kita dari putus asa dari ampunan-Nya..~_~

Wassalam....

17 Februari 2010 @ 1.13pm

.:OPEN Our HEART, REFRESH Our NIYYAH:.

Ahad, 14 Februari 2010

.:":.OuR DrEaM HEART.:":.


Bismillahirrahmanirrahim...

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara; kerana HARTAnya dan kerana KETURUNANnya dan kerana keCANTIKannya dan kerana AGAMAnya maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu." [Riwayat Muslim]

Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah tersalah dalam memberi nasihat. Nasihat Baginda s.a.w bukan sekadar omong kosong tetapi segalanya terbukti dengan apa yang Baginda juga para sahabat amalkan.

Pertama..harta
Kedua...keturunan
Ketiga...kecantikan
Terakhir...agama

Yang terakhir bukan bererti tidak penting. Secara lazimnya, lelaki yang biasa-biasa lebih tertarik kepada wanita atas 3 faktor pertama. Hanya lelaki yang luar biasa (maksudnya yang benar-benar beragama) mengutamakan faktor terakhir dan itulah dia...bakal suami yang soleh. Sentiasa menjadikan yang solehah sebagai idaman hati.

Umpama kisah Sultan Melaka yang beria-ia ingin meminang Puteri Gunung Ledang yang dikhabarkan memiliki paras yang jelita..begitulah lazimnya pilihan seorang lelaki.

Cantik kekal itu kerana agama, tidak sama cantik yang hanya di mata. Jika menikahi seseorang asbab kemuliaannya, ia buatkan diri menjadi hina dan jika kerana harta buatkan diri menjadi fakir. Hanya apabila matlamat nikah itu kerana menjaga maruah agama, insyaAllah, akan terlahirnya generasi yang berkat.

***

Gaya "bercinta" umat kini mengambil masa bertahun-tahun untuk mengenali pasangan dan itu berlaku sebelum berkahwin. Soalnya, berapakah jarak masa untuk mengenali pasangan?

Sejarah menunjukkan ikatan sosial bukan semudah zaman kini. Dunia menjadi semakin kecil, segala ruang terbuka seluasnya dek kerana perhubungan "di hujung jari". Ruang kenalan bukan sekadar dalam lingkungan masyarakat setempat bahkan merangkumi seluruh pelosok dunia.

Jika dilihat situasi zaman dulu, proses mengenal pasangan sebelum berkahwin tidak memerlukan masa yang panjang. Keluarga memainkan peranan penting semasa proses ini. Penglibatan ibu bapa dalam pemilihan jodoh buat anak-anak sangat membantu ke arah pembinaan rumahtangga yang kekal abadi walau tak pernah bercinta sebelumnya. Di situlah adanya sentuhan barakah dalam rumahtangga, tiada ruang waktu untuk "dosa cinta sebelum halalnya hubungan".

***

Pendidikan di menara gading melahirkan wanita yang hebat dalam aspek intelektual. Persoalannya, adakah keharmonian intelek ini selari dengan keharmonian dalam aspek hidup beragama. Ilmu mendidik akal menjadi cerdik, agama mendidik hati menjadi bersih. Ada wanita yang cantik sangat tapi tidak cerdik, ada yang cerdik sangat tapi akhlaknya buruk. Kecerdikan yang tidak dikombinasikan dengan akhlak yang baik menjadikan seorang itu seperti orang yang "rabun jauh". Yang dekat nampak, jauh tak nampak. Mahu ada "pakwe makwe" tanpa melihat batas syarak, mahu berkahwin tetapi tidak nampak tanggungjawab di sebalik sebuah perkahwinan. Disebabkan itu, majoriti umat kini tidak takut dengan maksiat, segala larangan Allah tak diambil peduli, bukan sahaja lautan api dunia, lautan neraka pun sanggup direnangi. Begitulah dahsyatnya momentum cinta yang bergelumang maksiat. Sangat sukar untuk dihentikan kerana akal disandarkan kepada nafsu mengatasi agama.

Nabi s.a.w juga pernah bersabda, "Tidak ada yang lebih berharga selepas taqwa kepada Allah selain ISTERI yang SOLEHAH."

Isteri solehah itu umpama permata dunia..perhiasan dunia. Jika dia di rumah, ahli bait peroleh manfaat darinya. Begitu juga jika dia bekerja, lingkungan kerjanya juga dapat manfaat.

Generasi akhirat yang hebat bermula dari isteri yang solehah. Pilihlah. Bina kasih sayang yang sifatnya hakiki, kasih sayang hanya kerana Allah.


Jangan biarkan kasih sayang menggugat dan merugikan diri kita. Membina rumahtangga diibaratkan membina masjid. Namun, masjid yang bagaimana kita ingini? Ada masjid yang sepi dari jemaah dan ada sebaliknya. Jadikan rumahtangga umpama masjid yang di dalamnya ada ruh al-Qur'an, ada imam dan makmum, ada khutbah yang merangsang diri menjadi insan yang semakin mantap imannya.

***

Sayangnya, kebanyakan rumahtangga hanya punya ruh materialistik. Cinta dalam rumahtangga hanya atas nama nafsu. Rumah gersang tanpa jemaah, khutbah hanya tinggal khutbah, hanya telinga mendengar tapi tidak di hati.

Terdapat 3 modal utama yang perlu ada untuk wanita yang mahu bergelar isteri solehah.

1-MODAL FIZIKAL

Fizikalnya harus mantap termasuklah aspek kewangan, kesihatan dan segala bentuk keperluan asas untuk hidup yang sejahtera.

2-MODAL EMOSIONAL

Bagaimana mahu berinteraksi dengan segala situasi? Bagaimana mengurus emosi? Bagaimana riak wajahnya bila ditegur silapnya? Bagaimana tuturkatanya? Semua itu harus dibereskan dengan sebaik-baiknya.

3.MODAL SPIRITUAL.

Untuk membina sebuah ikatan, ia bukan hanya atas sijil. Ciri-ciri jiwa beragama dan visi yang tepat perlu ada dalam diri setiap isteri. Isteri beginilah yang menjadi tiang seri utama.

"Wahai orang-orang yang beriman, selamatkanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka..." [at-Tahrim: 6].

***

Bagaimana hendak mengetahui sesorang itu sesuai dengan apa yang dianjurkan oleh agama dalam mencari pasangan?

Islam bukan sekadar sebut-sebutan, "ISLAM IS A VERB"...Islam itu tindakan.

Sememangnya sulit untuk mencari yang solehah. Walaubagaimanapun, ada kaedahnya. Walau kaedah ini agak lambat tapi inilah yang seharusnya. Jika mahu diteropong apa yang ada dalam hati setiap individu, pastinya susah.

1. KENALPASTI DIRI KITA....ada ciri soleh? Cari soleh pada diri. Bina diri. Jadilah kawan, baru cari kawan. Suburkan diri dengan segala sifat mahmudah, turuti sunnah Nabi s.a.w, pendek kata, tentukan diri anda sebagaimana yang anda mahukan dalam diri bakal pasangan anda, insyaAllah, pasti Allah akan buka peluang untuk kita miliki yang baik. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Perbetulkan diri, kelak Allah pasti ketemukan diri anda dengan insan selayaknya.

2. JANGAN MENANTI SEMPURNA kerana kesempurnaan itu sifatnya berterusan. Kita memang insan yang tidak sempurna. Apabila jodoh ditakdirkan buat kita, pasangan kitalah yang melengkapkan apa yang kurang dalam diri.

3.JANGAN IMPIKAN YANG TERLALU IDEAL.. Jangan melampau meletakkan standard yang tinggi untuk pasangan. Segala kekurangan yang ada pada pasangan harus diatasi bersama. Kita tidak memerlukan orang yang ke-3 dalam mengatasi masalah dalam hubungan suami isteri tetapi kita perlukan pihak ke-3...Dialah Allah s.w.t. Jika masalah disandarkan kepada nafsu, pasti kita akan menemui jalan buntu. Sandaran kepada Allah jualah yang terbaik.

***

Bagaimana hendak pertahankan rumah tangga ketika dilanda badai? Patutkah dipertahankan walau diri dizalimi?

Badai sentiasa ada selagi ada laut dan ada pantai. Yang utama, bergantung atas niat. Kedua-dua pihak suami isteri harus sama-sama buka minda dan hati untuk cari jalan penyelesaian. Mengakui apa yang salah dalam diri. Mohon bantuan insan yang punya pengaruh dan disegani dalam keluarga. Jika tiada, bersemukalah dengan mana-mana kaunselor untuk memohon pandangan bernas. Carilah apa juga jalan namun harus dipelihara kehidupan anak-anak. Jangan sampai putusnya ikatan suami isteri memutuskan ikatan ibu-anak/ bapa-anak. Mohon pada Allah agar ditunjukkan jalan penyelesaian terbaik.

***

Tanda isteri yang solehah...disuruh, dia ta'at..dilihat, hati tenang...jika suaminya tiada, maruah dan harta dijaga.

Suatu hari, seorang isteri sendirian di rumah. Datang 3 tetamu. Tidak dibenarkan masuk ketiga-tiganya sehinggalah kepulangan suaminya. Lalu ditanya pada suami, tetamu mana yang mahu dijemput masuk? Si suami menjemput tetamu "kekayaan"..berkatalah ibunya, kekayaan tidak bawa ke mana. Lalu dijemput pula tetamu "kebahagiaan"..berkata ayahnya, kebahagiaan ada pasang surutnya. Akhirnya dijemput tetamu "kasih sayang"..menakjubkan!.."kasih sayang" tidak masuk sendirian, "kekayaan" dan "kebahagiaan" mengiringi bersama.

***

Utamakan menjadi hamba Allah yang baik, bangunkan kekuatan diri, bangunkan tamadun. Segalanya bermula dari sebuah keluarga. Sama-samalah berusaha membawa tiap ahli keluarga untuk menatap "wajah" Allah, pasti akan bertemu rindu kepada Allah. Mulakan dengan mendidik hati untuk rasa rindu dan cinta kepada Yang Maha Agung..insyaAllah..segala apa yang diidamkan pasti tertunai..jika bukan di dunia, tentunya di akhirat kelak. (^^,)

Wallahu'alam....

Diskusi HALAQAH..akar tradisi ilmu..

Tajuk: ISTERI IDAMAN HATI

Moderator: Ahmad Shukri Yusoff
Panel: Ustaz Mohamad Zawawi Yusoh & Dr Rubiah Kulup Hamzah

Ahad, 9.30pm - 10.30pm

.:OPEN Our HEART, REFRESH Our NIYYAH:.

Sabtu, 6 Februari 2010

...nur iman...

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah. Kita masih diberikan nikmat keimanan. Inilah nikmat terbesar yang wajib ada bagi insan bergelar khalifah agar terlaksananya tanggungjawab menegakkan syahadah di bumi Allah. Nikmat imanlah bukti tercurahnya rahmat Allah terus-terusan buat kita. Nikmat inilah juga yang beri kita keyakinan untuk tetap di jalan yang benar.

Malangnya, umat akhir zaman ini selalu mengabaikan nikmat terbesar ini.

Manifestasikan kesyukuran dengan memaksimakan puji-pujian kepada Rabb kita. Sedari mata terbuka sebelum terbitnya fajar, didiklah hati agar sentiasa bertasbih memuji Allah sehinggalah tertutup mata menikmati tidur dalam indahnya iman. Lafaz pujian kita bukan sekadar meriah di dalam solat bahkan juga di luar solat. Setiap nikmat yang terlihat di mata kasar atau mata hati, dahulukan dengan memuji kebesaran Allah.

Sayangnya, dek kerana kita sering memisahkan dunia dengan iman yang ada pada diri, sering saja kita tertipu. Kita tidak merasa indahnya beramal dengan ad-Deen.

"Iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang." [Imam Bukhari]

Imam Ahmad menjelaskan...

"Jika kita ingat Allah, memuji-Nya, bertasbih kepada-Nya, maka demikianlah bertambahnya. Dan jika kita lalai, melupakan-Nya, menyia-nyiakan-Nya, maka itulah berkurangnya" (Aqidatus-Salaf wa Ashabul-Hadis)


Sabda Nabi Muhammad s.a.w ...

"Sungguh menakjubkan sikap seorang MUKMIN itu. Segala keadaan dianggapnya baik & hal ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka itu lebih baik baginya dan apabila ditimpa penderitaan ia bersabar maka itu lebih baik baginya."[H.R. Muslim].

Begitulah hebatnya seorang yang bergelar mukmin. Segala dugaan yang menimpanya ketika di dunia sedikitpun tidak membuatkannya dukacita. Kebergantungannya pada pertolongan Allah sangat tinggi. Dia tidak mudah kagum dengan kelebihan yang ada pada diri kerana dirinya sedar akan MAHA HEBATNYA ALLAH dan MAHA KERDILNYA DIRI SENDIRI.

"...Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". [Ibrahim:7]

Bagaimana kita hendak mensyukuri nikmat iman yang ada pada diri? Tidak lain...buktikan keimanan kita pada apa yang ada dalam hati, pada tutur bicara kita, pada gerakan panca indera kita, dan seluruh yang ada pada jiwa raga kita. Semuanya seharusnya berpaksikan anugerah iman yang Allah kurniakan.


Jadikan iman sebagai pemandu arah kita bermula dari seremeh-remeh perkara sehingga sebesar-besar perkara. Syukur dengan keimanan juga harus bersandarkan dengan ilmu, tidak boleh secara membuta tuli.

"Barangsiapa menempuh perjalanan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Sesungguhnya pada malaikat benar-benar akan membentangkan sayap-sayapnya bagi penuntut ilmu sebagai bentuk keredhaan terhadap apa yang mereka lakukan. Sesungguhnya orang berilmu akan dimohonkan ampunan oleh seluruh makhluk yang ada di langit dan di bumi, hingga ikan-ikan pun turut beristighfar untuknya. Keutamaan orang berilmu atas ahli ibadah adalah seperti keutamaan bulan purnama atas seluruh bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi dan sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham, namun hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya bererti telah mengambil bahagian yang banyak." [HR. Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban - Hadith Sahih]

Keindahan menikmati iman bukanlah milik "sdn. bhd." tetapi perlu dikongsi. Tiada guna kita menikmati iman yang ada pada diri sendirian sedang insan di sekeliling kita masih jauh dari nikmat iman. Bantulah insan lain untuk turut berada dalam iman dan seterusnya sama-sama merasa indahnya berada dalam iman.

Wassalam...

.:OPEN Our HEART, REFRESH Our NIYYAH:.

Isnin, 1 Februari 2010

::Tanya Sama DIRI::

Bismillahirrahmanirrahim...

Mahu ke mana diri???
Sering saja hati berbolak-balik
Ada ketika zuhud terserlah...
Ada ketika jumud beraja di minda...

Mahu ke mana diri???
Katanya mahu ke Syurga...
Tapi tingkahnya layak ahli neraka...

Mahu ke mana diri???
Bila diuji dengan sulitnya hidup...
Hati larut kesedihan...
Bila diuji dengan mudahnya hidup...
Hati hitam kegelapan...

Mahu ke mana diri???
Asyik mengejar fatamorgana dunia...
Hingga lupa betapa "gah"nya Syurga...

Mahu ke mana diri???
Hari-harinya sarat angan-angan...
Hingga terabai peranan...

Mahu ke mana diri???
Bimbang dengan miskinnya harta...
Seolahnya dunia ini baqa'

Mahu ke mana diri???
Mengejar cinta dunia yang tidak pasti...
Hingga tak sedar...
Yang Maha Mencintai setia menanti...

AYUH KAWAN!!!!

Jujur pada diri..
Rencana hidup ini.
Jangan pernah menyesal dengan takdir diri...
Redha dengan apa yang diberi...
Itu tanda syukur pada Yang Maha Pemberi...

Hapuskan tangisan meratapi ujian...
Kerana yakinlah insan...
Usai kesulitan...
Pasti ada kemudahan...
Itu janji Yang Maha Kasihan...

Padamkan hasad dalam jiwa...
Pada insan yang dilihat lebih segala...
Renunglah pada insan selainnya...
Pasti kan terbit syukur tak terhingga..

Percayalah....
sesungguh-sungguhnya....
seikhlas-ikhlasnya...
sesedar-sedarnya...

PASTI AKHIRNYA AKAN KETEMU SOROTAN JALAN.....
MENUJU JANNAH...

....Bukankah ke SITU MAHUNYA DIRI???.....

17 Safar 1431H @ 0035

.:OPEN Our HEART, REFRESH Our NIYYAH:.