Ahad, 14 Februari 2010

.:":.OuR DrEaM HEART.:":.


Bismillahirrahmanirrahim...

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara; kerana HARTAnya dan kerana KETURUNANnya dan kerana keCANTIKannya dan kerana AGAMAnya maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu." [Riwayat Muslim]

Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah tersalah dalam memberi nasihat. Nasihat Baginda s.a.w bukan sekadar omong kosong tetapi segalanya terbukti dengan apa yang Baginda juga para sahabat amalkan.

Pertama..harta
Kedua...keturunan
Ketiga...kecantikan
Terakhir...agama

Yang terakhir bukan bererti tidak penting. Secara lazimnya, lelaki yang biasa-biasa lebih tertarik kepada wanita atas 3 faktor pertama. Hanya lelaki yang luar biasa (maksudnya yang benar-benar beragama) mengutamakan faktor terakhir dan itulah dia...bakal suami yang soleh. Sentiasa menjadikan yang solehah sebagai idaman hati.

Umpama kisah Sultan Melaka yang beria-ia ingin meminang Puteri Gunung Ledang yang dikhabarkan memiliki paras yang jelita..begitulah lazimnya pilihan seorang lelaki.

Cantik kekal itu kerana agama, tidak sama cantik yang hanya di mata. Jika menikahi seseorang asbab kemuliaannya, ia buatkan diri menjadi hina dan jika kerana harta buatkan diri menjadi fakir. Hanya apabila matlamat nikah itu kerana menjaga maruah agama, insyaAllah, akan terlahirnya generasi yang berkat.

***

Gaya "bercinta" umat kini mengambil masa bertahun-tahun untuk mengenali pasangan dan itu berlaku sebelum berkahwin. Soalnya, berapakah jarak masa untuk mengenali pasangan?

Sejarah menunjukkan ikatan sosial bukan semudah zaman kini. Dunia menjadi semakin kecil, segala ruang terbuka seluasnya dek kerana perhubungan "di hujung jari". Ruang kenalan bukan sekadar dalam lingkungan masyarakat setempat bahkan merangkumi seluruh pelosok dunia.

Jika dilihat situasi zaman dulu, proses mengenal pasangan sebelum berkahwin tidak memerlukan masa yang panjang. Keluarga memainkan peranan penting semasa proses ini. Penglibatan ibu bapa dalam pemilihan jodoh buat anak-anak sangat membantu ke arah pembinaan rumahtangga yang kekal abadi walau tak pernah bercinta sebelumnya. Di situlah adanya sentuhan barakah dalam rumahtangga, tiada ruang waktu untuk "dosa cinta sebelum halalnya hubungan".

***

Pendidikan di menara gading melahirkan wanita yang hebat dalam aspek intelektual. Persoalannya, adakah keharmonian intelek ini selari dengan keharmonian dalam aspek hidup beragama. Ilmu mendidik akal menjadi cerdik, agama mendidik hati menjadi bersih. Ada wanita yang cantik sangat tapi tidak cerdik, ada yang cerdik sangat tapi akhlaknya buruk. Kecerdikan yang tidak dikombinasikan dengan akhlak yang baik menjadikan seorang itu seperti orang yang "rabun jauh". Yang dekat nampak, jauh tak nampak. Mahu ada "pakwe makwe" tanpa melihat batas syarak, mahu berkahwin tetapi tidak nampak tanggungjawab di sebalik sebuah perkahwinan. Disebabkan itu, majoriti umat kini tidak takut dengan maksiat, segala larangan Allah tak diambil peduli, bukan sahaja lautan api dunia, lautan neraka pun sanggup direnangi. Begitulah dahsyatnya momentum cinta yang bergelumang maksiat. Sangat sukar untuk dihentikan kerana akal disandarkan kepada nafsu mengatasi agama.

Nabi s.a.w juga pernah bersabda, "Tidak ada yang lebih berharga selepas taqwa kepada Allah selain ISTERI yang SOLEHAH."

Isteri solehah itu umpama permata dunia..perhiasan dunia. Jika dia di rumah, ahli bait peroleh manfaat darinya. Begitu juga jika dia bekerja, lingkungan kerjanya juga dapat manfaat.

Generasi akhirat yang hebat bermula dari isteri yang solehah. Pilihlah. Bina kasih sayang yang sifatnya hakiki, kasih sayang hanya kerana Allah.


Jangan biarkan kasih sayang menggugat dan merugikan diri kita. Membina rumahtangga diibaratkan membina masjid. Namun, masjid yang bagaimana kita ingini? Ada masjid yang sepi dari jemaah dan ada sebaliknya. Jadikan rumahtangga umpama masjid yang di dalamnya ada ruh al-Qur'an, ada imam dan makmum, ada khutbah yang merangsang diri menjadi insan yang semakin mantap imannya.

***

Sayangnya, kebanyakan rumahtangga hanya punya ruh materialistik. Cinta dalam rumahtangga hanya atas nama nafsu. Rumah gersang tanpa jemaah, khutbah hanya tinggal khutbah, hanya telinga mendengar tapi tidak di hati.

Terdapat 3 modal utama yang perlu ada untuk wanita yang mahu bergelar isteri solehah.

1-MODAL FIZIKAL

Fizikalnya harus mantap termasuklah aspek kewangan, kesihatan dan segala bentuk keperluan asas untuk hidup yang sejahtera.

2-MODAL EMOSIONAL

Bagaimana mahu berinteraksi dengan segala situasi? Bagaimana mengurus emosi? Bagaimana riak wajahnya bila ditegur silapnya? Bagaimana tuturkatanya? Semua itu harus dibereskan dengan sebaik-baiknya.

3.MODAL SPIRITUAL.

Untuk membina sebuah ikatan, ia bukan hanya atas sijil. Ciri-ciri jiwa beragama dan visi yang tepat perlu ada dalam diri setiap isteri. Isteri beginilah yang menjadi tiang seri utama.

"Wahai orang-orang yang beriman, selamatkanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka..." [at-Tahrim: 6].

***

Bagaimana hendak mengetahui sesorang itu sesuai dengan apa yang dianjurkan oleh agama dalam mencari pasangan?

Islam bukan sekadar sebut-sebutan, "ISLAM IS A VERB"...Islam itu tindakan.

Sememangnya sulit untuk mencari yang solehah. Walaubagaimanapun, ada kaedahnya. Walau kaedah ini agak lambat tapi inilah yang seharusnya. Jika mahu diteropong apa yang ada dalam hati setiap individu, pastinya susah.

1. KENALPASTI DIRI KITA....ada ciri soleh? Cari soleh pada diri. Bina diri. Jadilah kawan, baru cari kawan. Suburkan diri dengan segala sifat mahmudah, turuti sunnah Nabi s.a.w, pendek kata, tentukan diri anda sebagaimana yang anda mahukan dalam diri bakal pasangan anda, insyaAllah, pasti Allah akan buka peluang untuk kita miliki yang baik. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Perbetulkan diri, kelak Allah pasti ketemukan diri anda dengan insan selayaknya.

2. JANGAN MENANTI SEMPURNA kerana kesempurnaan itu sifatnya berterusan. Kita memang insan yang tidak sempurna. Apabila jodoh ditakdirkan buat kita, pasangan kitalah yang melengkapkan apa yang kurang dalam diri.

3.JANGAN IMPIKAN YANG TERLALU IDEAL.. Jangan melampau meletakkan standard yang tinggi untuk pasangan. Segala kekurangan yang ada pada pasangan harus diatasi bersama. Kita tidak memerlukan orang yang ke-3 dalam mengatasi masalah dalam hubungan suami isteri tetapi kita perlukan pihak ke-3...Dialah Allah s.w.t. Jika masalah disandarkan kepada nafsu, pasti kita akan menemui jalan buntu. Sandaran kepada Allah jualah yang terbaik.

***

Bagaimana hendak pertahankan rumah tangga ketika dilanda badai? Patutkah dipertahankan walau diri dizalimi?

Badai sentiasa ada selagi ada laut dan ada pantai. Yang utama, bergantung atas niat. Kedua-dua pihak suami isteri harus sama-sama buka minda dan hati untuk cari jalan penyelesaian. Mengakui apa yang salah dalam diri. Mohon bantuan insan yang punya pengaruh dan disegani dalam keluarga. Jika tiada, bersemukalah dengan mana-mana kaunselor untuk memohon pandangan bernas. Carilah apa juga jalan namun harus dipelihara kehidupan anak-anak. Jangan sampai putusnya ikatan suami isteri memutuskan ikatan ibu-anak/ bapa-anak. Mohon pada Allah agar ditunjukkan jalan penyelesaian terbaik.

***

Tanda isteri yang solehah...disuruh, dia ta'at..dilihat, hati tenang...jika suaminya tiada, maruah dan harta dijaga.

Suatu hari, seorang isteri sendirian di rumah. Datang 3 tetamu. Tidak dibenarkan masuk ketiga-tiganya sehinggalah kepulangan suaminya. Lalu ditanya pada suami, tetamu mana yang mahu dijemput masuk? Si suami menjemput tetamu "kekayaan"..berkatalah ibunya, kekayaan tidak bawa ke mana. Lalu dijemput pula tetamu "kebahagiaan"..berkata ayahnya, kebahagiaan ada pasang surutnya. Akhirnya dijemput tetamu "kasih sayang"..menakjubkan!.."kasih sayang" tidak masuk sendirian, "kekayaan" dan "kebahagiaan" mengiringi bersama.

***

Utamakan menjadi hamba Allah yang baik, bangunkan kekuatan diri, bangunkan tamadun. Segalanya bermula dari sebuah keluarga. Sama-samalah berusaha membawa tiap ahli keluarga untuk menatap "wajah" Allah, pasti akan bertemu rindu kepada Allah. Mulakan dengan mendidik hati untuk rasa rindu dan cinta kepada Yang Maha Agung..insyaAllah..segala apa yang diidamkan pasti tertunai..jika bukan di dunia, tentunya di akhirat kelak. (^^,)

Wallahu'alam....

Diskusi HALAQAH..akar tradisi ilmu..

Tajuk: ISTERI IDAMAN HATI

Moderator: Ahmad Shukri Yusoff
Panel: Ustaz Mohamad Zawawi Yusoh & Dr Rubiah Kulup Hamzah

Ahad, 9.30pm - 10.30pm

.:OPEN Our HEART, REFRESH Our NIYYAH:.

Tiada ulasan: